Tentang inkuiri
Apakah Inkuiri Nasional ini?
Inkuiri Nasional mengenai Hak, Keselamatan dan Kesejahteraan Kanak-Kanak di Institusi Jagaan dan Perlindungan di Malaysia — mengapa ia diadakan, apa yang diteliti dan bagaimana ia dijalankan.

Mengapa inkuiri ini diperlukan
Institusi jagaan menyediakan tempat tinggal dan perlindungan apabila kanak-kanak tidak dapat tinggal dengan selamat bersama keluarga atau memerlukan sokongan tertentu. Di sana, kanak-kanak bergantung kepada petugas untuk keperluan harian, rawatan, hubungan dengan keluarga dan peluang mendapatkan bantuan.
Pergantungan ini menjadikan pengawasan bebas dan saluran aduan yang selamat sangat penting. Kejadian penderaan atau pengabaian di sebuah institusi tidak semestinya berpunca daripada seorang individu sahaja — ia mungkin berkait dengan saringan kakitangan yang lemah, nisbah penjaga yang tidak memadai, budaya hukuman, rekod yang tidak lengkap, pemeriksaan yang tidak berkesan atau kegagalan agensi berkongsi maklumat.
Istilah seperti rumah kanak-kanak, rumah kebajikan, rumah anak yatim, tempat selamat dan pusat jagaan sering digunakan secara bertindih, dan tertakluk kepada akta serta pihak berkuasa yang berbeza. Inkuiri ini melihat fungsi sebenar sesebuah premis, bukan nama yang digunakan semata-mata.
Penelitian turut mengambil kira kekangan pengendali dan petugas — tenaga kerja, latihan, pembiayaan dan akses kepada perkhidmatan profesional — supaya syor dapat membezakan masalah amalan harian daripada kelemahan undang-undang, dasar atau penyelarasan agensi.
Matlamat dan objektif
Matlamat
Menentukan sama ada sistem institusi jagaan dan perlindungan di Malaysia menghormati, melindungi dan memenuhi hak kanak-kanak, serta menghasilkan pembaikan segera dan reformasi struktur yang boleh dilaksanakan, dipantau dan dinilai.
- Menyiasat pengalaman kanak-kanak dalam jagaan dan bekas penghuni dewasa, termasuk pengalaman positif, kemudaratan, usaha mendapatkan bantuan serta pandangan mereka tentang perubahan yang diperlukan.
- Meneliti keselarasan undang-undang, dasar, standard, SOP dan amalan institusi dengan Akta 597, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], undang-undang berkaitan, CRC, CRPD serta prinsip penjagaan alternatif.
- Mengenal pasti jurang dan pertindihan tanggungjawab agensi serta operator dalam pendaftaran, kelulusan, penempatan, pengawasan, aduan, penyiasatan dan penguatkuasaan.
- Menilai kualiti penjagaan harian, tenaga kerja, pengurusan kes, pendidikan, kesihatan, hubungan keluarga, perancangan keluar jagaan dan sokongan kepada bekas penghuni.
- Merumuskan syor pembaharuan berdasarkan dapatan dan amalan baik, dengan keutamaan, tempoh, pihak bertanggungjawab, indikator serta kaedah pemantauan.
Lapan persoalan utama
Inkuiri ini cuba menjawab persoalan berikut dengan jujur, berdasarkan bukti daripada pelbagai sumber.
Adakah kanak-kanak ditempatkan di institusi hanya apabila perlu, dan adakah bentuk serta tempoh penempatan sesuai dengan keperluan individu mereka?
Apakah bentuk penderaan, pengabaian, eksploitasi, diskriminasi atau sekatan hak yang dialami — dan apakah faktor institusi atau sistem yang membolehkannya berlaku atau berulang?
Adakah kanak-kanak mempunyai saluran aduan yang bebas, mudah dicapai, sulit dan selamat daripada tindakan balas — dan adakah aduan membawa kepada penyiasatan dan pemulihan yang bermakna?
Sejauh mana pemeriksaan, pelesenan, pemantauan dan penguatkuasaan mengesan keadaan sebenar dan memastikan pembetulan dilaksanakan?
Adakah kakitangan mencukupi, disaring, dilatih dan diselia, dan adakah budaya organisasi menggalakkan perlindungan serta pelaporan?
Bagaimanakah sistem memenuhi keperluan kanak-kanak kurang upaya, bukan warganegara, pelarian, tanpa dokumen, Orang Asli atau Orang Asal dan mangsa pemerdagangan?
Adakah perancangan kes, hubungan keluarga, penyatuan semula, alternatif berasaskan keluarga dan sokongan selepas keluar jagaan mengurangkan tempoh penginstitusian serta meningkatkan hasil kehidupan?
Apakah pindaan undang-undang, pembaharuan dasar, pengukuhan institusi, pelaburan sumber dan mekanisme akauntabiliti yang paling perlu dan boleh dilaksanakan?
Mandat dan batas kuasa
Inkuiri dijalankan di bawah seksyen 12(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597]. Proses ini melengkapkan pemeriksaan pentadbiran, perlindungan statutori dan siasatan jenayah.
Apa yang inkuiri lakukan
- Mengkaji pola pelanggaran hak merentas institusi dan agensi
- Menyediakan ruang penyertaan awam yang selamat
- Merujuk bahaya semasa untuk tindakan perlindungan segera
- Menghasilkan syor yang boleh dipantau
Apa yang inkuiri tidak lakukan
- Menentukan kesalahan jenayah atau remedi mahkamah
- Menyiasat perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad (seksyen 12(2) dan 12(3))
- Memindahkan atau mengubah penempatan kanak-kanak tanpa kuasa yang sah
Penilaian turut berpandukan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan Garis Panduan PBB bagi Penjagaan Alternatif. Prinsip tiada diskriminasi, kepentingan terbaik, hak untuk hidup dan berkembang serta hak untuk didengar menjadi asas penilaian. Standard antarabangsa digunakan sebagai tanda aras tanpa memperluas kuasa statutori SUHAKAM.
Institusi yang diliputi
Skop utama meliputi premis kediaman yang menyediakan jagaan atau perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak tinggal bersama keluarga asal mereka. Penentuan mengambil kira tujuan penubuhan, pendaftaran dan fungsi sebenar premis.
Dalam skop
- Jagaan kediaman kerajaan, NGO dan swasta
- Rumah anak yatim
- Institusi Islam atau agama lain yang menjalankan fungsi jagaan
- Pusat kediaman orang kurang upaya (OKU)
- Pusat jagaan pelbagai yang menempatkan kanak-kanak
- Tempat perlindungan kanak-kanak mangsa pemerdagangan
Di luar pemeriksaan utama
- Pusat jagaan harian dan asrama sekolah
- Institusi pendidikan agama atau tahfiz
- Penjara, lokap dan depot imigresen
- Sekolah Tunas Bakti dan Sekolah Henry Gurney
Maklumat tentang risiko kepada kanak-kanak di tempat ini masih boleh diterima untuk dirujuk melalui saluran yang sesuai.
Premis yang memerlukan semakan
Premis tidak berdaftar, berstatus pendaftaran belum disahkan atau mempunyai tujuan bercampur boleh dipertimbangkan selepas semakan. Status yang belum diketahui tidak terus dianggap tidak berdaftar. Jika premis menggunakan nama tahfiz atau madrasah tetapi sebenarnya berfungsi sebagai rumah jagaan, kelayakannya disemak dan dirujuk kepada Panel.
Siapa boleh menyumbang
- Kanak-kanak di institusi terpilih dan bekas penghuni yang masih di bawah 18 tahun — tanpa mengira kewarganegaraan, dokumentasi, agama, etnik, jantina atau ketidakupayaan. Aduan terdahulu tidak menjadi syarat.
- Bekas penghuni berumur 18 tahun ke atas — melalui saluran naratif khusus.
- Keluarga, petugas, pengendali, agensi, profesional dan pihak lain — melalui penyerahan bertulis dan sesi libat urus.
Tempoh pengalaman yang diteliti
Tempoh fakta utama bagi rekod dan amalan institusi (1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026).
Keutamaan analisis bagi pengalaman bekas penghuni dewasa (1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2026).
Keadaan sepanjang tahun 2027 direkodkan sebagai bukti semasa.
Pengalaman di luar tempoh itu masih boleh diterima apabila berkaitan, termasuk apabila menunjukkan pola atau risiko yang berterusan.
Perkara yang diteliti
Pengalaman positif, neutral dan negatif akan diberi ruang dalam pengumpulan maklumat.
- Keselamatan dan tindak balas terhadap kemudaratan
- Penderaan fizikal, seksual dan emosi, pengabaian, eksploitasi, buli, ugutan, hukuman yang memalukan, pengasingan, pengekangan dan tindakan balas terhadap pengadu. Soalan utamanya: bagaimana risiko dicegah, siapa yang mengetahui sesuatu kejadian, tindakan yang diambil, dan sama ada kanak-kanak memperoleh bantuan yang diperlukan.
- Kualiti penjagaan dan perkembangan
- Pemakanan, kebersihan, privasi, kesihatan fizikal dan mental, pendidikan, permainan, rehat, identiti, amalan agama serta akses kepada masyarakat — dinilai sebagai hak kanak-kanak dalam kehidupan seharian, termasuk apabila tiada aduan penderaan.
- Tenaga kerja dan budaya institusi
- Bilangan dan kesesuaian petugas, pengambilan, saringan, latihan, penyeliaan, waktu kerja dan sokongan kepada kakitangan; cara disiplin dilaksanakan; dan sama ada kebimbangan boleh dilaporkan serta ditangani dengan selamat.
- Aduan dan pengawasan
- Saluran aduan dinilai dari segi kefahaman kanak-kanak, kebolehcapaian, privasi dan tindakan susulan. Pada peringkat sistem: pendaftaran, pemeriksaan, pembiayaan, penguatkuasaan dan penyelarasan antara agensi.
- Penempatan dan kehidupan selepas jagaan
- Alasan dan tempoh penempatan, pelan kes individu, semakan berkala, hubungan keluarga dan adik-beradik, penyatuan semula keluarga, pilihan jagaan berasaskan keluarga, serta persediaan keluar jagaan — dokumen pengenalan, pendidikan, pekerjaan, tempat tinggal dan sokongan sosial.
- Kumpulan yang menghadapi halangan tambahan
- Kanak-kanak OKU, bukan warganegara, pelarian, pencari suaka, tanpa dokumen, Orang Asli atau Orang Asal dan mangsa pemerdagangan — dengan mengambil kira umur, jantina, bahasa dan lokasi.
Liputan dan pemilihan institusi
Inkuiri menggunakan pendekatan kualitatif untuk memahami pengalaman dan cara sistem berfungsi secara mendalam. Asas liputan ialah minimum dua institusi bagi setiap 13 negeri dan dua bagi Wilayah Persekutuan — sekurang-kurangnya 28 institusi melalui enam blok lawatan. Pemetaan tetap meliputi seluruh Malaysia, termasuk Labuan.
| Blok lawatan | Liputan | Sasaran |
|---|---|---|
| Utara | Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak | 8 institusi |
| Tengah | Selangor serta WP (Kuala Lumpur–Putrajaya) | 4 institusi |
| Selatan | Negeri Sembilan, Melaka dan Johor | 6 institusi |
| Sabah | Sabah | 2 institusi |
| Sarawak | Sarawak | 2 institusi |
| Pantai Timur | Pahang, Terengganu dan Kelantan | 6 institusi |
| Jumlah | 28 institusi |
Pemilihan mempertimbangkan risiko, nilai maklumat, kepelbagaian penghuni, fungsi jagaan, pengendali dan lokasi. Institusi tanpa aduan khusus serta institusi dengan amalan baik juga boleh dipilih. Lawatan ke sesebuah institusi tidak bermakna pelanggaran telah diputuskan.
Anggaran awal ialah 5 hingga 20 kanak-kanak serta 2 hingga 3 petugas atau pengurus bagi setiap institusi. Penyertaan kanak-kanak kekal sukarela dan tidak dipaksa untuk memenuhi kuota. Sampel ini tidak digunakan untuk menganggar kadar penderaan nasional.
Bagaimana maklumat dikumpul dan dinilai
Lawatan institusi
Dua hingga tiga hari bagi setiap institusi: semakan dokumen; pemerhatian premis dan rutin; sesi berasingan dengan pengurusan dan petugas; serta sesi tertutup dengan kanak-kanak. Penjelasan pengurusan dibandingkan dengan pengalaman penghuni dan keadaan yang diperhatikan.
Mendengar kanak-kanak dengan selamat
Sesi dikendalikan oleh dua pegawai terlatih di ruang yang menjaga privasi. Kanak-kanak boleh menolak, tidak menjawab, berehat atau berhenti tanpa menjejaskan penempatan mereka. Bantuan bahasa, Bahasa Isyarat Malaysia, bahan visual dan orang sokongan disediakan.
Naratif dan penyerahan awam
Bekas penghuni dewasa berkongsi pengalaman melalui panggilan naratif. Organisasi dan pakar menyumbang data, penyelidikan dan cadangan melalui penyerahan bertulis.
Dua kajian sokongan
Mengenai kerangka undang-undang, bidang kuasa, tadbir urus dan pengawasan institusi jagaan — sebagai bahan rujukan tambahan kepada analisis.
Pendengaran inkuiri
Empat siri pendengaran dari 6 September hingga 15 Oktober 2027 untuk isu terpilih. Lihat butiran pendengaran.
Analisis dan dapatan
Maklumat yang menyokong dan bercanggah dibandingkan, penjelasan alternatif diperiksa dan batas bukti dinyatakan. Penerimaan sesuatu cerita tidak bermakna kandungannya telah diputuskan sebagai dapatan.
Tatakelola dan kebebasan
SUHAKAM ialah pemilik inkuiri. Panel terdiri daripada lima Pesuruhjaya — seorang Pengerusi dan empat ahli — yang membuat keputusan kolektif tentang pemilihan institusi, isu pendengaran, penilaian bukti, dapatan dan syor. Satu sekretariat bersepadu menyelaras lawatan, perlindungan peserta, pengurusan maklumat, libat urus, pendengaran dan penyediaan laporan.
Agensi dan pengendali membantu akses, rekod serta penjelasan tanpa mengawal pemilihan peserta atau dapatan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah rakan kerjasama dan juga pihak yang sistem serta tindakannya dinilai. Sebelum dapatan buruk dimuktamadkan, pihak yang terjejas diberi peluang yang adil untuk memberikan penjelasan.
Satu cerita boleh mengubah cara kanak-kanak dijaga.
Penerimaan naratif dibuka hingga 30 Jun 2027.